ENTITI PERNIAGAAN

Pengenalan Entiti Perniagaan

Tiada usahawan dapat menafikan bahawa cabaran perniagaan semakin bertambah di alaf baru ini. Perniagaan merangkumi semua aktiviti dan usaha yang menyediakan barangan dan perkhidmatan yang perlu untuk sesuatu sistem ekonomi (M.B. Muda et. al., m.s 3)

Kejayaan sesuatu perniagaan amat dipengaruhi oleh jenis entiti yang dipilih oleh seseorang peniaga. Malangnya, kebanyakan peniaga tidak begitu sedar dan faham tentang kepentingan entiti perniagaan yang tepat atau betul.

(a )      Pengertian Entiti Perniagaan

Entiti perniagaan merupakan satu badan perniagaan yang mempunyai fungsi tersendiri (M.B. Muda et.al., m.s 28). Oleh itu, perniagaan boleh dikelaskan berdasarkan bentuk pemilikan perniagaan, aktiviti perniagaan yang dijalankan, sektor industri di mana perniagaan itu beroperasi, jenis keluaran yang diterbit dan dipasarkan dan juga peringkat perniagaan dalam aliran industri.

Sebelum bentuk-bentuk perniagaan diterangkan dengan lebih lanjut, lebih baik beberapa konsep asas perniagaan difahami dahulu. Antaranya ialah :-

i.          Konsep Liabiliti Perniagaan

Usahawan-usahawan yang menceburi diri dalam bidang perniagaan sering menghadapi pelbagai risiko terutamanya syarikat perniagaan yang mempunyai liabiliti tidak terhad. Liabiliti perniagaan adalah tanggungan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh perniagaan mulai sekarang (tempoh semasa) hingga pada masa hadapan sebelum liabiliti tersebut dijelaskan pada jangka masa yang telah ditetapkan (Zumilah Zainalaludin, m.s 31). Pada dasarnya, liabilti perniagaan dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu liabiliti terhad dan liabiliti tidak terhad.

Liabiliti terhad merupakan tanggungan perniagaan yang terhad kepada jumlah pelaburan yang telah dilaburkan dalam perniagaan yang berkenaan. Sekiranya pemilik perniagaan tidak mampu menjelaskan segala tanggungan perniagaan apabila perniagaannya gulung tikar (gagal), maka aset peribadi pemilik perniagaan tidak akan terlibat langsung dalam melunaskan tanggungan perniagaannya. Ini bermaksud pemilik perniagaan yang berliabiliti terhad hanya akan kehilangan jumlah modal yang dilaburkan dalam perniagaan sahaja bagi tujuan melunaskan liabititi perniagaan tadi. Perniagaan sendirian, perniagaan awam ataupun perniagaan perkongsian boleh didaftarkan sebagai perniagaan berliabiliti terhad. Nama perniagaan sendirian dan perniagaan perkongsian yang berliabiliti terhad perlu diakhiri dengan perkataan “Sdn. Bhd.” atau “Bhd.” Contoh: Addison Wesley Longman Bhd. Perniagaan awam pula perlu menunjukkan perkataan “PLC” pada hujung nama perniagaan. Contoh : Olympia Plc., Tanjong Plc.

Pemilik perniagaan yang  berliabiliti tidak terhad perlu melibatkan asset peribadi dalam melunaskan tanggungan perniagaan sekiranya perniagaannya mengalami sesuatu yang malang. Ini bermakna tanggungan perniagaan tidak terhad kepada jumlah pelaburan yang pemilik laburkan pada perniagaan yang berkenaan. Contoh: Syarikat Hazami, Kedai Runcit Cheong Fatt.

ii.         Konsep Sendirian dan Awam

Negara-negara yang mengamalkan system ekonomi campuran seperti Malaysia dan Britain mempunyai perniagaan sendirian dan juga perniagaan awam.

Perniagaan sendirian (private enterprise) merujuk kepada perniagaan yang dimiliki dan diusahakan oleh individu-individu tertentu (some of the public) yang biasanya bermatlamatkan keuntungan. Entiti perniagaan sendirian menjalankan berbagai-bagai aktiviti perniagaan. Syarikat-syarikat perniagaan dan korporat adalah entiti perniagaan yang tergolong dalam kategori ini. Contoh : Kedai Gunting XYZ, Public Bank Berhad.

Perniagaan awam (public enterprise) pula merujuk kepada entiti perniagaan yang dimiliki oleh Negara (all of the public). Perniagaan awam ditadbir oleh kerajaan pusat ataupun kerajaan tempatan. Perniagaan awam lazimnya berfungsi sebagai agen pelaksana dasar-dasar awam kerajaan dan matlamatnya ialah semata-mata matlamat sosial. Contoh: Jabatan Pengangkutan Jalan, Perbadanan Kemajuan Negeri.

2.2       Bentuk-bentuk Pemilikan Perniagaan

Salah satu asas untuk mengelaskan sesuatu perniagaan ialah pemilikan perniagaan itu sendiri. Pemilikan perniagaan melihat perspektif pemilik atau tuan punya perniagaan. Terdapat empat bentuk pemilikan perniagaan iaitu pemilikan tunggal (sole proprietor), perkongsian (partnerships), syarikat / korporat dan koperasi. Setiap bentuk pemilikan perniagaan yang tersebut tadi mempunyai ciri-ciri, kelebihan dan kelemahan tersendiri.

(a)       Pemilikan Tunggal (Sole Proprietor / Trader)

Bentuk perniagaan ini seperti kedai runcit, pasar mini, warung paling banyak terdapat di Negara kita, Malaysia. Ciri-ciri utama bentuk perniagaan ini ialah:

i.          Dimiliki oleh seorang pemilik sahaja. Pemilik berperanan sebagai pengurus dan pekerja perniagaan. Kadang-kala pemilik perniagaan dibantu oleh ahli keluarga ataupun satu atau dua orang pembantu yang digaji.

ii.         Modal perniagaan disumbangkan oleh pemilik sendiri daripada hasil tabungan atau pinjaman daripada keluarga.

iii.        Pemilik perniagaan ini mesti mendaftarkan perniagaannya dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan. Pendaftaran perniagaan boleh dibuat dengan menggunakan nama pemilik seperti Kedai Runcit Ahmad Kamal ataupun nama perniagaan seperti Pasar Mini Pongsu Seribu.

iv.        Pemilikan tunggal merupakan sejenis perniagaan yang menjual satu jenis produk atau perkhidmatan yang tidak memerlukan modal yang besar.

Kelebihan Pemilikan Tunggal

i.          mudah ditubuhkan, dikembangkan dan dibubarkan.

ii.         kos penubuhan dan  kos overhed perniagaan rendah.

iii.        pemilik perniagaan bebas untuk mengurus, mengawal dan membuat keputusan perniagaan

iv.        pemilik perniagaan mendapat kepuasan yang lebih kerana segala untung dan rugi menjadi tanggungannya, memberi layanan secara peribadi kepada pelanggan.

v.         cukai pendapatan secara perseorangan dan akaun perniagaan tidak perlu diaudit semasa dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kelemahan Pemilikan Tunggal

Perniagaan pemilikan tunggal juga mempunyai beberapa kelemahan. Antara kelemahan-kelemahannya ialah :

i.          aset peribadi pemilik perniagaan berisiko tinggi kerana bentuk perniagaan ini berliabiliti tidak terhad.

ii.         modal, idea dan kemahiran pengurusan pemilik perniagaan yang terhad menyukarkan pengembangan perniagaan.

iii.        masa kerja pemilik perniagaan panjang dan tidak bebas untuk bercuti panjang.

(b)       Perkongsian (Partnerships)

Perniagaan perkongsian merupakan lanjutan daripada perniagaan tunggal. Bentuk perniagaan ini dibentuk secara gabungan dan diusahakan oleh dua orang atau lebih dengan matlamat memperoleh keuntungan. Pemilik-pemiliknya dikenali sebagai rakan kongsi perniagaan. Terdapat beberapa jenis rakan kongsi perniagaan. Antaranya ialah:

i.          Rakan Kongsi Umum

  • mempunyai liabiliti yang tidak terhad
  • sangat aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
  • menyumbangkan modal

 

ii.         Rakan Kongsi Terhad

  • mempunyai liabiliti terhad
  • tidak aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
  • menyumbangkan modal

 

iii.        Rakan Kongsi Lelap / Tidur (Sleeping Partners)

  • menyumbangkan modal
  • berhak menerima keuntungan
  • tidak aktif dalam aktiviti operasi perniagaan

 

iv.        Rakan Kongsi Nominal

  • tidak menyumbangkan modal
  • membenarkan nama digunakan
  • orang yang berpengaruh / mempunyai tahap kredibiliti yang tinggi
  • turut menanggung segala liabiliti perkongsian

 

Ciri-ciri Bentuk Perniagaan Perkongsian

i.          Jumlah modal yang disumbangkan oleh rakan-rakan kongsi berasaskan syarat-syarat / persetujuan yang termaktub dalam perjanjian bertulis yang dikenali sebagai Artikel Perkongsian (Articles of Partnership).

ii.         Jumlah keuntungan diagihkan kepada semua rakan kongsi perniagaan berdasarkan syarat-syarat / modal yang telah dinyatakan dalam Artikel Perkongsian.

iii.        Sekurang-kurangnya dua orang pemilik tetapi tidak melebihi 20 orang bagi perniagaan biasa, 10 orang bagi bank, bilangan rakan kongsi tidak terhad bagi bidang professional.

iv.        Didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB). Boleh mendaftarkan perniagaan perkongsian dengan menggunakan nama perniagaan atau nama rakan-rakan kongsi.

v.         Liabiliti perniagaan tidak terhad kecuali bagi pekongsi berhad.

vi.        Aktiviti operasian perniagaan diuruskan oleh rakan kongsi yang aktif. Sebagai balasan, rakan kongsi berkenaan dibayar gaji / elaun mengikut syarat-syarat perjanjian.

vii.       Perniagaan perkongsian tidak dikenakan cukai perniagaan. Rakan-rakan kongsi perlu membayar cukai pendapatan perseorangan.

 

Kelebihan Perniagaan Perkongsian

i.          Mudah ditubuhkan. Perniagaan perkongsian merupakan lanjutan daripada perniagaan secara pemilikan tunggal. Oleh itu, prosedur untuk menubuhkan perniagaan perkongsian tidak banyak perbezaannya berbanding dengan perniagaan secara pemilikan tunggal.

ii.         Penggabungan banyak idea terutamanya pada peringkat awal penubuhan perniagaan perkongsian. Keupayaan berfikir daripada idea rakan kongsi yang banyak dapat memberi kelebihan keyakinan kepada perniagaan perkongsian untuk berhadapan dengan pesaing-pesaing yang sedia ada dalam pasaran.

iii.        Dapat menggemblengkan tenaga, kemahiran dan kepakaran yang berlainan. Perbincangan dan pengkhususan boleh dilakukan antara rakan-rakan kongsi.

iv.        Mudah mendapatkan sumber kewangan terutamanya daripada institusi kewangan. Pihak bank atau syarikat kewangan (Finance) mempercayai bahawa rakan kongsi yang ramai memudahkan perniagaan perkongsian untuk melangsaikan obligasinya.

v.         Dapat mengembangkan kemampuan perniagaan. Dengan modal yang mencukupi hasil daripada sumbangan ekuiti rakan kongsi, perniagaan perkongsian dapat merebut peluang perniagaan serta memajukan perniagaannya dengan mudah.

vi.        Perniagaan perkongsian tidak dikenakan cukai perniagaan. Berdasarkan keuntungan yang diterima, rakan kongsi perniagaan perkongsian masing-masing diwajibkan oleh undang-undang untuk menjelaskan cukai pendapatan perseorangan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kelemahan Perniagaan Perkongsian

 

i.          Liabiliti / Tanggungan yang tidak terhad. Semua rakan kongsi perniagaan perkongsian berliabiliti tidak terhad kecuali pekongsi-pekongsi berhad. Ini bermakna sekiranya perniagaan perkongsian itu terpaksa menggulung tikar, pihak pemiutang boleh menuntut hutangnya daripada aset peribadi rakan kongsi perniagaan itu.

 

ii.         Mudah berlaku konflik atau salah faham. Rakan kongsi yang ramai mudah mempengaruhi pembuatan keputusan. Pendapat dan karenah rakan kongsi yang berbeza-beza sering kali menjadi punca perselisihan faham atau pertelingkahan. Masalah ini akan menjejaskan keharmonian di kalangan rakan kongsi perniagaan itu.

iii.        Kewujudan perniagaan perkongsian tidak kekal. Sekiranya seorang rakan kongsi menarik diri daripada perniagaan perkongsian, meninggal dunia, tidak siuman atau diisytiharkan sebagai muflis, maka perkongsian itu dengan sendirinya terbubar. Jika rakan-rakan kongsi yang lain ingin meneruskan perniagaan perkongsian itu, mereka perlu mendaftarkan semula perniagaan perkongsian itu dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB).

iv.        Pemilikan perniagaan sukar untuk dipindahkan. Berdasarkan undang-undang perniagaan, hasrat seseorang rakan kongsi untuk memindahkan pemilikan perniagaannya perlu, terlebih dahulu, mendapatkan persetujuan daripada rakan-rakan kongsi perniagaan yang lain. Jika tidak, pemindahan pemilikan perniagaan itu adalah tidak sah.

 

 

(c)       Perbadanan Korporat

Perbadanan korporat merupakan suatu bentuk perniagaan yang ditubuhkan dibawah kuasa undang-undang (Akta Syarikat) dan didaftarkan melalui Pendaftar Syarikat. Ini bermakna perbadanan korporat yang berdaftar boleh menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan, memiliki atau menjual harta, meminjam wang, mengambil dan diambil tindakan oleh mahkamah dan membuat sebarang perjanjian dengan sebarang organisasi (Zumilah Zainalaludin, 1999, m.s 40).

Ciri-ciri Bentuk Perbadanan Korporat

Terdapat tiga jenis perniagaan secara perbadanan korporat iaitu syarikat sendirian (swasta), syarikat awam, dan badan berkanun. Selain itu, perbadanan korporat juga boleh dikelaskan kepada syarikat berhad atau syarikat tidak berhad. Syarikat berhad, tidak kira syarikat sendirian (swasta) atau syarikat awam, dibahagikan kepada syarikat berhad dengan jaminan, syarikat berhad dengan saham dan syarikat berhad dengan jaminan dan saham.

i.          Syarikat Sendirian Berhad (Swasta)

  • Syarikat-syarikat sendirian berhad boleh dikenali dengan mudah. Tiap-tiap nama syarikat sendirian berhad diakhiri dengan perkataan sendirian berhad atau Sdn. Bhd.
  • Pemilik atau pemegang saham syarikat sendirian berhad terdiri daripada 2 hingga 50 orang. Semua pemilik perniagaan berliabiliti terhad.
  • Pemilik / pemegang saham syarikat sendirian berhad yang menyumbang modal perniagaan. Mereka dilarang sama sekali untuk mengutip modal daripada orang awam.
  • Saham syarikat sendirian berhad boleh dijual beli tetapi tidak dilakukan secara terbuka di pasaran.
  • Pemegang saham yang memiliki 51% atau lebih daripada jumlah saham biasa syarikat sendirian berhad, berhak untuk mengawal syarikat sendirian berkenaan.

ii.         Syarikat Awam Berhad

  • Syarikat awam berhad boleh dikenali melalui perkataan “Berhad” / Bhd. Di hujung nama syarikat berkenaan. Terdapat dua jenis syarikat awam berhad iaitu yang tersenarai di bursa saham seperti Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan syarikat awam tidak tersenarai.
  • Modal syarikat awam berhad dikumpulkan melalui penjualan saham dan bon kepada orang awam.
  • Pemegang saham syarikat awam berhad bebas menjual dan membeli saham di pasaran saham (BSKL). Ini bermakna pemindahan saham syarikat tidak perlu mendapat persetujuan pemegang-pemegang saham lain dalam syarikat.
  • Bilangan minimum pemegang saham adalah 2 orang dan boleh melebihi 50 orang. Jumlah pemegang saham itu bergantung kepada jumlah saham yang dipegang oleh ahli-ahli syarikat dan jenis saham yang diterbitkan.
  • Pemilik perniagaan ini berliabiliti terhad terhadap jumlah modal yang dilaburkan dalam perniagaan.

iii.        Syarikat Awam Berhad Dengan Jaminan

  • Dimiliki oleh ramai pemilik seperti persatuan-persatuan.
  • Tidak bermotifkan keuntungan, hanya bertujuan untuk menjaga kebajikan para pelabur perniagaan.
  • Dijamin oleh kerajaan atau agensi kerajaan.

iv.        Badan-badan Berkanun

 

  • Ditubuhkan oleh pihak kerajaan yang bertujuan untuk membangunkan sesuatu industri atau menjaga kepentingan rakyat jelata.
  • Dibentuk di bawah Akta Parlimen.
  • Badan-badan berkanun yang menjalankan perniagaan seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, FELDA, Lembaga Pertubuhan Ladang dikenali sebagai perusahaan awam.
  • Beberapa badan berkanun di Malaysia telah diswastakan melalui Dasar Penswastaan dan Persyarikatan mulai tahun-tahun 1980-an. Antaranya, Sistem Telekom Malaysia, MAS, Tenaga Elektrik Nasional, Perkhidmatan Pos, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Universiti Malaya (UM) dan sebagainya. Saham-saham badan-badan berkanun berkenaaan telah dijual kepada masyarakat umum.

 

Kelebihan Perniagaan Perbadanan Korporat

  • Liabiliti pemilik terhad kepada jumlah modal yang dilaburkan.
  • Status perundangan jelas dan perlu dipatuhi dengan tepat. Pemegang-pemegang saham dilindungi oleh undang-undang.
  • Modal yang besar memudahkan perniagaan berkembang.
  • Bentuk perniagaan secara perbadanan korporat lebih stabil kerana ia entiti berasingan dengan pemilik perniagaan.
  • Pengurusan perniagaan secara perbadanan korporat lebih efisyen kerana ia duruskan oleh kumpulan pengurusan professional.

Kelemahan Perniagaan Perbadanan Korporat

  • Operasi perbadanan korporat dikawal oleh undang-undang yang ketat.
  • Pengurusan perbadanan korporat dikawal oleh lembaga pengarah dan bukan pemilik perniagaan. Pengurusan dan pemilik perniagaan khususnya syarikat awam dipisahkan. Pembaziran dan salah guna kuasa mungkin dan mudah berlaku.
  • Cukai yang dikenakan ke atas perbadanan korporat adalah lebih tinggi berbanding dengan lain-lain bentuk perniagaan. Cukai-cukai itu terdiri daripada cukai ke atas keuntungan syarikat yang belum diagihkan dan cukai ke atas dividen yang diperolehi oleh tiap-tiap pemegang saham.
  • Laporan kewangan syarikat perlu diaudit oleh juruaudit bertauliah sebelum diedarkan kepada pemegang-pemegang saham.
  • Laporan tahunan perbadanan korporat perlu dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat dan pemegang-pemegang saham
  • Proses penubuhan dan pendaftaran perbadanan korporat lebih sukar dan kompleks berbanding perniagaan secara pemilikan tunggal dan perkongsian.

(d)       Koperasi

 

Koperasi merupakan suatu entiti perniagaan yang ditubuhkan secara sukarela untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya berdasarkan konsep kerjasama dan semangat tolong-menolong. Terdapat dua bentuk koperasi, iaitu koperasi yang keahliannya terhad kepada sesuatu jenis pekerjaan, kawasan dan latar belakang seperti Koperasi Guru-guru Semenanjung Malaysia, Koperasi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) dan koperasi yang keahliannya adalah bebas seperti Koperasi Perumahan, Koperasi Pengguna.

Ciri-ciri Koperasi

i.          Modal koperasi diperolehi melalui yuran sama ada yuran bulanan ataupun yuran tahunan yang dibayar dan saham-saham yang dibeli oleh ahli-ahlinya.

ii.         Tiap-tiap ahli koperasi diwajibkan membeli sekurang-kurangnya 100 unit saham tetapi tidak melebihi satu perlima daripada jumlah modal koperasi.

iii.        Tiap-tiap ahli koperasi mempunyai hanya satu undi dalam sebarang perlantikan jawatan  koperasi.

iv.        Koperasi diurus dan ditadbirkan oleh ahli lembaga pengarah yang dilantik oleh ahli-ahli koperasi semasa Mesyuarat Agung Tahunan.

v.         Pengurusan harian koperasi dikendalikan oleh jawatankuasa pengurusan yang dilantik oleh Lembaga Pengarah Koperasi.

vi.        Koperasi wajib didaftarkan dengan Jabatan Pembangunan Koperasi.

vii.       Keuntungan koperasi diagihkan kepada ahli, sama ada satu kali atau dua kali setahun, dalam bentuk dividen atau bonus atau kedua-duanya.

Kelebihan Koperasi

i.          Mengutamakan kebajikan dan kepentingan ahli dan bukan hanya mencari keuntungan.

ii.         Menggemblengkan tenaga, modal dan mengumpul orang yang berminat untuk meningkatkan kedudukan ekonomi masing-masing melalui konsep kerjasama.

Kelemahan Koperasi

i.          Aktiviti koperasi dikuasai oleh ahli-ahli lembaga pengarah kerana ahli-ahli koperasi kurang aktif.

ii.         Operasi koperasi dikawal rapi oleh Jabatan Pembangunan Koperasi. Jika koperasi tidak mematuhi peraturan operasi, pihak pendaftar Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) berhak untuk menutup operasi koperasi berasaskan kuasa yang ada padanya.

iii.        Laporan kewangan koperasi perlu diaudit oleh juruaudit dalaman dan juga juruaudit luaran yang bertauliah.

iv.        Mesyuarat agung tahunan yang dihadiri oleh ramai ahli mungkin boleh menggugat sistem pengurusan koperasi.

(e)       Usahasama (Joint Venture)

 

Usahasama merupakan suatu jenis perniagaan perkongsian yang bersifat sementara untuk tujuan menyempurnakan sesuatu kerja, projek atau tugas khas dalam jangka masa tertentu seperti musim perayaan.

Apabila kerja, projek atau tugas khas itu selesai, maka jenis perniagaan perkongsian ini akan dibubarkan. Ini bermakna bahawa jangka hayat perniagaan secara usahasama bergantung kepada pelaksanaan sesuatu kerja, projek atau tugas khas.

 

 

(f)        Sindiket

Sindiket adalah pertubuhan dua atau lebih jenis perniagaan yang mengutamakan keuntungan atau sebarang faedah. Sindiket juga berperanan sebagai persatuan untuk memberi perlindungan ke atas hak dan kepentingan ahli-ahlinya.

2.3       Industri Kecil dan Sederhana (IKS)

 

(a)       Pengenalan

Negara kita, Malaysia, merupakan sebuah Negara yang amat bertuah kerana kaya dengan sumber bahan mentah. Penerokaan terhadap sumber bahan mentah telah banyak membantu pembangunan Malaysia, baik dari segi infrastruktur, tahap ekonomi ataupun kualiti hidup rakyat Malaysia.

Proses transformasi sumber bahan mentah ternyata melibatkan peningkatan mendadak sektor ekonomi Malaysia, khususnya pada bidang pembuatan dan pengeluaran barangan. Pertumbuhan dan perkembangan ekonomi Malaysia yang pesat telah memberi peluang yang lebih meluas kepada pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS). Penglibatan industri kecil dan sederhana yang meluas yakin dapat memperkukuhkan struktur asas pembangunan bidang perindustrian negara. Pada masa yang sama, keseimbangan antara penglibatan syarikat-syarikat asing dengan usahawan tempatan tercapai.

(b)       Definisi Industri Kecil dan Sederhana (IKS)

Banyak definisi tentang industri kecil dan sederhana telah dikemukakan oleh individu, penyelidik, ahli akademik, penggubal dasar, agensi dan institusi. Walau bagaimanapun, di Malaysia, tidak ada satu definisi yang khusus, rasmi, sah dan diterima secara umum. Menurut Moha Asri Abdullah (1997), kelemahan ini tidak harus dijadikan halangan kepada usaha untuk memperakukan definisi industri kecil dan sederhana.

Maka, industri kecil dan sederhana dirujuk sebagai industri yang beroperasi dengan saiz pekerja yang kurang daripada 200 orang secara penuh masa (Moha Asri Abdullah, 1997, m.s. 9)

(c )      Kepentingan Perniagaan Kecil dan Sederhana Kepada Negara

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa peratusan daripada jumlah pertumbuhan kilang dalam sektor perkilangan telah merosot pada pertengahan 90-an. (Misalnya, kadar pertumbuhan sektor perkilangan pada 1975 ialah 92.4 %, manakala pada 1995, sektor ini hanya menujukkan pertumbuhan sebanyak 88.9% ).

Namun, penurunan peratusan ini tidak bermaksud bahawa sumbangan dan peranan industri kecil dan sederhana kepada pembangunan ekonomi Malaysia telah kurang penting. Penurunan peratusan  ini, sebenarnya, disebabkan oleh sebahagian besar daripada industri kecil dan sederhana telah berkembang besar dan tidak layak lagi dikategorikan sebagai industri kecil dan sederhana. Di samping itu, terdapat juga industri kecil dan sederhana yang terletak di kawasan terpencil dan pedalaman tidak diambil kira dalam system pembancian.

Sumbangan dan kepentingan industri kecil dan sederhana di Malaysia secara keseluruhannya dapat dibincangkan dalam beberapa aspek. Antaranya ialah:

i.          Membuka Peluang Pekerjaan

Penggunaan tenaga buruh secara intensif dalam teknik pengeluaran industri kecil dan sederhana terus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam beberapa fungsi pengeluaran dan operasinya. Industri kecil dan sederhana lebih cenderung untuk menggunakan tenaga buruh secara intensif untuk menandingi kos pengeluaran. Masalah modal, teknik dan teknologi yang canggih untuk barangan tertentu secara kecilan tidak mudah diperolehi serta kuasa beli yang kecil industri kecil dan sederhana tidak menggalakkannya mengamalkan modal / kapital secara intensif.

ii.         Tabungan Dalam Ekonomi

Penglibatan industri kecil dan sederhana dalam ekonomi banyak membantu dalam meningkat tabungan modal negara. Dapatan kajian tentang operasi industri kecil dan sederhana menunjukkan bahawa sebahagian besar sumber modal datangnya daripada usahawan sendiri, keluarga atau rakan. Oleh itu, industri kecil dan sederhana menjadi sumber penting kepada jumlah tabungan dan simpanan negara. Pada masa yang sama, industri kecil dan sederhana turut membantu dalam mengurangkan kadar perbelanjaan penduduk dan seterusnya kadar inflasi.

Seterusnya, industri kecil dan sederhana juga membeli dan menggunakan mesin peralatan yang mudah atau yang terpakai dalam usaha menjimatkan aset tetap mereka. Dari segi ekonomi, penggunaan mesin dan peralatan seperti ini oleh industri kecil dan sederhana dapat membantu mengurangkan modal dan kos mereka.

Di samping itu, industri kecil dan sederhana jarang melibatkan penggunaan bahan-bahan mentah impot berbanding dengan firma-firma besar. Hal ini pula membantu Negara menjimatkan pertukaran wang asing dan seterusnya dapat menggalakkan pertumbuhan sektor-sektor ekonomi yang lain.

iii.        Pengagihan Pendapatan

Kepentingan industri kecil dan sederhana yang seterusnya dapat dilihat dari aspek pengagihan semula pendapatan di kalangan penduduk. Industri kecil dan sederhana lebih cenderung membayar gaji, faedah dan menawarkan pekerjaan kepada pekerja-pekerja yang bukan daripada kalangan yang mahir dan profesional. Penglibatan pengusaha, pemilik dan pekerja dalam industri kecil dan sederhana boleh membantu merapatkan jurang pendapatan di kalangan penduduk. Dengan perkataan lain, penglibatan mereka meningkatkan pendapatan yang lebih ketara di kalangan penduduk.

iv.        Latihan Kepada Pekerja dan Pengusaha

Industri kecil dan sederhana juga memainkan peranan yang penting dalam melatih pekerja, pengusaha dan bakal pengusaha. Peningkatan mereka dalam kemahiran dan pengetahuan secara langsung membantu mengendalikan selok-belok operasi perniagaan dengan lebih berkesan dan terus bergantung hidup kepada perniagaan yang berkenaan.

v.         Memperkukuhkan Struktur Asas Industri Negara

Di samping itu, industri kecil dan sederhana banyak membantu dalam mengembang dan memperkukuhkan struktur asas ekonomi dan industri negara yang sedia ada. Industri kecil dan sederhana, sebenarnya, merupakan industri pelengkap kepada keperluan dan pembangunan kebanyakan syarikat gergasi antarabangsa (MNCs). Penglibatan industri kecil dan sederhana yang giat dan dalam pelbagai sector membolehkan asas industri yang mantap dan kukuh dan tidak akan tergugat dan terjejas apabila syarikat gergasi antarabangsa yang beroperasi di sesuatu negara itu menarik diri daripada operasi dan pelaburan mereka.

vi.        Memenuhi Citarasa dan Keperluan Penduduk Tempatan

Industri kecil dan sederhana amat penting dari segi memenuhi citarasa dan keperluan barangan sebahagian besar penduduk tempatan yang berpendapatan rendah. Industri kecil dan sederhana dengan penyesuaian mereka kepada intensif tenaga buruh, banyak mengeluar dan menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang tidak dapat dihasilkan oleh syarikat bersaiz besar termasuk syarikat gergasi antarabangsa. Contohnya pengeluaran dan pembuatan barangan makanan, pakaian, perabot, logam, peralatan getah dan plastik.

(d)       Galakan Kerajaan Untuk Industri Kecil dan Sederhana

Sejak kebelakangan ini, industri kecil dan sederhana seringkali mendapat perhatian dan galakan yang meluas daripada banyak pihak terutamanya kerajaan.

Dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai penduduk terutamanya usahawan Bumiputera berkecimpung dalam industri kecil dan sederhana, kerajaan Malaysia menerusi agensi-agensinya telah menyediakan pelbagai galakan dan program sokongan kepada mereka yang berpotensi dan berminat dalam bidang industri kecil dan sederhana. Antara galakan dan sokongan yang disediakan oleh kerajaan dapat dibahagikan kepada lima kategori yang utama, iaitu

i.          bantuan kewangan dan kemudahan kredit

Misalnya, pinjaman daripada Syarikat Jaminan Kredit (CGC), pinjaman dan kemudahan kredit MARA, pinjaman daripada Tabung Usahawan Baru, pinjaman daripada Tabung Pemulihan Usahawan, pinjaman dan kemudahan kredit daripada bank, bank perdagangan, bank saudagar, syarikat kewangan berlesen dan institusi pembangunan, kemudahan kredit Skim Pembayaran Kredit Eksport.

ii.         bantuan latihan teknik dan pelajaran vokasional

Perbadanan Daya Produktiviti Negara (NPC) dan Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC) menyediakan program pembangunan usahawan dan pengurusan perniagaan.

SMIDEC, Institut Piawai dan Penyelidikan Industri Malaysia (SIRIM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Pusat Instruktor dan Latihan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Institut-institut Latihan perindustrian (ILP), Institut kemahiran MARA (IKM), GIAT MARA menawarkan kursus-kursus teknikal dan kemahiran pekerja jangka pendek.

iii.        bantuan khidmat nasihat dan konsultasi lanjutan

NPC, SMIDEC, institusi kewangan, SIRIM, MARDI, MEDEC menawarkan bantuan khidmat nasihat pengurusan dan peningkatan kawalan kualiti dan perkembangan reka bentuk kepada industri kecil dan sederhana di Malaysia.

iv.        bantuan pemasaran dan penyelidikan pasaran

MEDEC, NPC, Bank Pembangunan, SMIDEC, MARA, FAMA menyediakan bantuan pengurusan asas pemasaran yang bertujuan untuk meningkatkan pasaran barangan keluaran industri kecil dan sederhana.

v.         penyediaan kemudahan infrastruktur

UDA membantu industri kecil dan sederhana untuk mendapatkan tapak, bangunan dan ruang pejabat yang sesuai di kawasan Bandar, MARA menyediakan tapak-tapak kilang dan perniagaan kepada usahawan dan peniaga Bumiputera di Malaysia, MIEL bertanggungjawab untuk membangunkan estet perindustrian di Malaysia, Taman Teknologi Malaysia, Zon Perdagangan Bebas (FTZ).

Sehingga ke hari ini hamper 13 kementerian dan hamper 30 agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menawarkan pelbagai jenis program bantuan dan galakan kerajaan dalam pembangunan industri kecil dan sederhana di Malaysia.

(e)       Perniagaan Huluan dan Hiliran

Entiti perniagaan adalah sesuatu organisasi yang amat dinamik. Ia sentiasa mengalami perkembangan dan pertumbuhan. Pertumbuhan entiti perniagaan boleh diukur mengikut peringkat penggunaan input. Antaranya ialah:

i.          Perniagaan Huluan (Up-stream Business)

Perniagaan pada peringkat huluan bererti bahawa perniagaan berkenaan melibatkan aktiviti yang berasaskan sumber-sumber asli / semula jadi seperti bahan galian, tanaman, ternakan dan sebagainya. Contoh: Syarikat Ayamas yang membekalkan ayam sebagai input untuk ayam goreng restoran KFC dikatakan menjalankan perniagaan pada peringkat huluan.

ii.         Perniagaan Hiliran (Down-stream Business)

Perniagaan pada peringkat hiliran bererti bahawa perniagaan berkenaan melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan yang dikembangkan daripada perniagaan lain seperti pemprosesan, pembuatan, pengilangan, perkhidmatan dan sebagainya. Contoh: Restoran KFC, ayam goreng KFC yang dijual adalah hasil pemprosesan ayam segar yang dibekalkan oleh Syarikat Ayamas.

Entiti perniagaan juga boleh dikenalpasti melalui fokus pasaran dan aktiviti pembuatannya iaitu sama ada domestik (tempatan) ataupun antarabangsa.

iii.        Perniagaan Domestik (Tempatan)

Perniagaan ini hanya beroperasi di dalam sesebuah negara, bermula dengan pengeluaran dan diikuti dengan pemasaran dan jualan. Keluaran perniagaan domestik bertujuan untuk memenuhi keperluan penduduk tempatan. Perniagaan domestik pula banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan memperkukuhkan lagi struktur asas industri negara.

iv.        Perniagaan Antarabangsa

Perniagaan antarabangsa merupakan perniagaan yang menjalankan operasi perniagaannya di dua atau lebih negara asing. Operasi perniagaan itu berbentuk sama ada satu hala, dua hala ataupun pelbagai hala. Perniagaan antarabangsa lazimnya berkembang daripada perniagaan domestik yang menjalankan aktiviti eksport sama ada di peringkat serantau atau di peringkat global.

(f)        Tahap Perniagaan Primer, Sekunder dan Tertiar

Perniagaan juga boleh dikategorikan kepada tahap primer, sekunder atau tertiar.

i.          Tahap Primer

Perniagaan yang menjalankan aktiviti mengeluarkan barang-barang yang akan digunakan sebagai input untuk pengeluaran yang seterusnya atau mengeluarkan barang-barang yang boleh digunakan terus oleh pengguna dikenali sebagai perniagaan tahap primer. Contoh: Industri yang berasaskan pertanian atau ekstraktif seperti perlombongan galian dan bahan api.

 

ii.         Tahap Sekunder

Perniagaan tahap sekunder merupakan perniagaan yang menjalankan aktiviti mengeluarkan barang-barang yang diterbitkan pada tahap primer kepada barangan siap atau separuh siap yang diperlukan oleh aktiviti pemprosesan seterusnya. Contoh: Bijih besi ditukarkan kepada kepingan besi, paip besi dan sebagainya.

 

iii.        Tahap Tertiar

Perniagaan tahap tertiar terdiri daripada perniagaan yang menghasilkan barangan yang tidak ketara. Perniagaan pada peringkat ini lebih tertumpu kepada pemberian perkhidmatan yang terbaik. Contoh: Perkhidmatan yang ditawarkan oleh doktor, akauntan, bank dan sebagainya.

 

2.4       Perniagaan  Francais

Perniagaan francais merupakan suatu pendekatan yang membuka jalan termudah bagi seseorang individu atau syarikat untuk menceburi dalam bidang perniagaan. Perniagaan francais meliputi semua jenis perniagaan berangkaian yang memenuhi ciri asas 3S iaitu sistem (system), pengkhususan (specialization) dan piawaian (standardization). Perniagaan francais, sebenarnya, telah lama wujud di negara kita, Malaysia. Namun, amalan perniagaan Malaysia yang berasaskan konsep francais masih tidak menggalakkan. Ini bermakna peluang untuk maju serta berkembang dalam bidang perniagaan francais di Malaysia adalah cerah; banyak lagi yang boleh diterokai. Kerajaan Malaysia telah memainkan peranan yang aktif serta memberi sokongan padu kepada pembangunan perniagaan ini.

(a)       Definisi Perniagaan Francais

Perniagaan francais boleh ditakrifkan sebagai suatu pendekatan perniagaan di mana syarikat induk (francaisor) memberi lesen atau hak kepada individu atau syarikat lain (francaisi) untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang berlandaskan suatu kaedah tertentu, di lokasi atau kawasan yang ditetapkan dan dalam jangka masa yang ditentukan.

Dengan perkataan lain, perniagaan francais merupakan suatu bentuk perniagaan yang berkontrak di antara francaisor dan francaisi yang menggariskan tanggungjawab dan tugas kedua-dua pihak, yang membenarkan fungsi-fungsi pemasaran produk dipiawai dan diselaraskan tanpa penduaan dan peniruan (duplication).

(b)       Francaisor dan Francaisi, Hubungan Antara Kedua Pihak

Syarikat perniagaan / Pemilik francais yang memberi lessen / kebenaran dan hak kepada individu atau syarikat lain untuk mengeluar dan menjual produknya, menggunakan jenama atau simbolnya, mengamalkan kaedahnya dan lain-lain yang berkaitan dengan perniagaan dikenali sebagai francaisor.

Francaisi pula merupakan syarikat atau individu yang mendapat lesen / kebenaran dan hak untuk mengeluar dan menjual produk, menggunakan jenama atau simbol, mengamalkan kaedah dan lain-lain yang berkaitan dengan perniagaan francaisor.

Pihak francaisor dan pihak francaisi diikat oleh kontrak / perjanjian francais yang telah dipersetujui bersama. Dengan itu, francaisor mengizinkan francaisi menjalankan perniagaan yang serupa dengannya dari semua aspek. Sebagai balasan, francaisi perlu membayar royalti setiap tahun kepada francaisor.

 

(c )      Kelebihan dan Kelemahan Perniagaan Francais

Seperti bentuk-bentuk perniagaan yang telah dibincangkan terlebih dahulu, perniagaan francais tentu sekali memberi kelebihan dan juga kelemahan kepada kedua-dua pihak yang terlibat iaitu francaisor dan francaisi. Antaranya:

i.          Kelebihan Perniagaan Francais Kepada Francaisor

Perniagaan francaisor dapat berkembang serta bertumbuh dengan pesat kerana sistem pengurusan dan modal perniagaan cawangan diurus di atas tanggungjawab francaisi. Ini secara tidak langsung memudahkan pihak francaisor memperluaskan pasaran untuk produknya. Tambahan bayaran royalti yang tetap, bayaran asas, caj perkhidmatan pengurusan dan sebagainya akan menambahkan keuntungan perniagaan francaisor.

ii.         Kelebihan Perniagaan Francais Kepada Francaisi

Francaisi dapat memulakan perniagaan dengan risiko perniagaan yang rendah. Francaisi berpeluang memperdagangkan produknya berdasarkan suatu sistem yang lengkap dan terbukti berdaya maju / keberkesanannya. Contoh: Pihak francaisi akan menggunakan jenama produk, bahan mentah untuk mengeluarkan produk serta prosedur pengurusan perniagaan sebagaimana yang telah ditetap dan diamalkan oleh francaisor.

Selain itu, francaisi juga mendapat bantuan kewangan, khidmat sokongan dan latihan daripada francaisor untuk tujuan membangunkan struktur pengurusan dan premis perniagaan francaisi.

Disebalik kebaikan tentunya juga kedapatan kelemahan perniagaan francais yang terpaksa dihadapi oleh pihak francaisor dan francaisi. Antaranya:

i.          Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisor

Francaisor adalah bertanggungjawab ke atas kewujudan, perkembangan dan daya saing perniagaan francaisi. Francaisor perlu memberikan bantuan kewangan dan khidmat sokongan kepada pihak francaisi bukan sekadar di peringkat awal tempoh francaisi memulakan perniagaan, bahkan untuk seumur hidup perniagaan francais itu dikendalikan oleh francaisi.

Apabila francaisi gagal untuk mematuhi segala prosedur perniagaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh francaisor seperti garis panduan mengenai mutu produk, tentu sekali nilai nama atau reputasi francaisor akan terjejas.

Pihak francaisor pula mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menangani masalah penipuan seperti bayaran royalti, bayaran caj perkhidmatan, peniruan dan kebocoran formula produk dan sebagainya apabila cawangan francais pihak francaisor bertambah dan berkembang pesat. Kegagalan francaisor menangani masalah sedemikian boleh mengakibatkan kemusnahan ikatan pemfrancaisan.

ii.         Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisi

Penglibatan serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan innovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.

Tambahan, pelaburan modal permulaan perniagaan francais yang besar menjadikan bentuk perniagaan ini lebih eksklusif dan sukar untuk bakal usahawan menceburi dan memasuki pasaran seperti ini.

Francaisi juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak. Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di kawasan yang kurang membangun. Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak berniaga dan beroperasi sendiri. Tindakan pihak francaisor sedemikian tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan perniagaannya.

CIRI-CIRIENTITI PERNIAGAAN TUNGGAL
  • 1 org, Pendaftar perniagaan, modal sendiri/keluarga, kawalan sendiri, cukai individu, liabiliti tdk terhad
PKONGSIAN
  • 2-20, Pendaftar perniagaan, modal rakan kongsi, diurus rakan kongsi aktif, cukai individu shj, liabiliti tdk terhad
SDN BHD
  • 2-50, Pendaftar sykt (Akta Sykt 1965), syer dr keluarga/rakan rapat, jual syer mesti minta kebenaran, diurus oleh ahli lembaga pengarah yg dipilih, cukai sykt, liabiliti terhad setakat modal dilabur.
AWAM BHD
  • 2-tiada had, Pendaftar sykt (Akta Sykt 1965), syer kpd org awam, bebas jual beli saham, diurus oleh ahli lembaga pengarah yg dipilih, cukai sykt, liabiliti terhad setakat modal dilabur.
KOPERASI
  • Min 100, Ketua Pendaftar Koperatif Malaysia, syer kpd ahli, syer tdk boleh tukar milik, diurus oleh ahli lembaga pengarah yg dipilih, tiada cukai, liabiliti terhad.
KEBAIKAN DAN KELEMAHANENTITI PERNIAGAAN JENIS ENTITI KEBAIKAN KEBURUKAN
MILIKAN TUNGGAL
  1. Mudah ditubuhkan – hanya perlu isi Borang A dan yuran yg rendah
  2. Mudah diuruskan- bebas membuat keputusan sendiri
  3. Beban cukai yg rendah-cukai individu shj bukan cukai perniagaan
  4. Pemilik menikmati semua keuntungan
  1. Liabiliti tdk terhad- pemilik bertanggungjawab atas semua hutang perniagaan dan harta peribadi akan terlibat jika rugi
  2. Modal terhad-sukar mendapat modal besar dari bank
  3. Keterusan perniagaan tdk terjamin-bergantung kpd hayat pemilik
  4. Terpaksa menguruskan sendiri semua kerja2 berkaitan perniagaan
  5. Pasaran terhad-sukar dikembangkan
PERKONGSIAN
  1. Mudah ditubuhkan-hanya perlu isi Borang A dan yuran yg rendah
  2. Beban cukai yg rendah- tertakluk kpd cukai perorangan
  3. Modal lebih byk dari milikan tunggal kerana sumbangan modal pekongsi2.
  4. Tanggungan risiko perniagaan bersama pekongsi
  5. Pengkhususan dpt dilaksanakan
  6. Liablititi tdk tehad bagi pekongsi biasa
  7. Keterusan perniagaan tdk terjanim-dibubarkan bila ada pekongsi muflis, mati, tidak siuman
  8. Perkongsian untung-terpaksa bahagikan keuntungan
  9. Percanggahan pendapat-perniagaan terjejas bila ada konflik antara pekongsi
KOPERASI
  1. Mementingkan kebajikan sosial ahli-Beli brg murah dan pinjaman dgn faedah rendah
  2. Tidak wujud monopoli kuasa-pengurusan demokrasi dgn satu ahli satu undi
  3. Beban cukai yg rendah-cukai individu
  4. Modal boleh ditingkatkan tanpa had maksimum-tdk tertakluk kpd modal berdaftar
  5. Operasi kurang agresif-kurang usaha utk cari keuntungan lebih sebab hanya jaga kebajikan shj
  6. Pengurusan kewangan terikat dgn akta-kewangan dikawal ketat oleh jab.pembangunan koperasi utk jaga kepentingan ahli
  7. Sukar ditubuhkan-mimimum 100 org ahli sukar dicari
  8. Modal terhad-ahli biasanya golongan pendapatan rendah spt nelayan, petani dll dan sukar bersaing sgn entiti lain.
SYARIKAT
  1. Mudah mendapat modal-drp ramai pemegang syer dan perniagaan mudah berkembang
  2. Liabliti terhad-pemegang syer rugi setakat modal dilaburkan shj
  3. Berterusan dan tdk mudah dibubarkan-perniagaan tdk terjejas walaupun berlaku kematian, tdk siuman, bankrap dan pindah milik dikalangan pemegang syer/saham
  4. Pengkhususan dpt dilaksanakan-kerja mengikut kepakaran
  5. Pengurusan sykt lebih berkesan dan cekap-berupaya upah pengurus yg profesional dlm bidang ttt.
  1. Beban cukai yg tinggi-cukai sykt sebanyak 28% ke atas untung sykt
  2. Kawalan undang2 dan peraturan yg ketat-dikawal akta sykt 1965
  3. Pemisahan pemilikan dan pengurusan-kecekapan bergantung kpd kebolehan lembaga pengarah bukannya pemegang saham, risiko salah guna kuasa mungkin berlaku
  4. Kurang kerahsiaan bagi sykt awam berhad-perlu kemukakan laporan kewangan tahunan
  5. Kesukaran memindahkan syer bagi sdn bhd-perlu persetujuan pemegang saham yg lain.
AKTIVITI PERNIAGAAN PENGELUARAN/ INDUSTRI Def: ialah aktiviti yg melibatkan pengeluaran iaitu menggunakan tenaga buruh untuk  mengeluarkan bahan mentah dan memprosesnya kepada sesuatu barang lain

  1. Ekstraktif
  • Meliputi penghasilan dan pemprosesan untuk mendapatkan sesuatu bahan mentah
  • Dijadikan input kepada pengeluaran lain
  • Cth:Pelombongan bijih timah, petani hasil tani dan nelayan mendapat ikan.
  1. Perkilangan
  • Barang konsumer
  • Melibatkan proses mengeluarkan barang-barang terus boleh digunakan oleh pengguna
  • Proses mengeluarkan barang-barang siap dan melibatkan beberapa peringkat
  • Cth: Barang makanan (gula, minyak masak), barang eletrik
  • Barang industri
  • Melibatkan pengeluaran barang-barang yang digunakan untuk proses pengeluaran seterusnya
  • Cth: pengeluaran cip komputer, tayar kereta, barangan elektronik
  • Pembuatan
  • Aktiviti menggunakan bahan mentah untuk menghasilkan barang siap atau barang separuh siap.
  • Cth: Menggunakan getah untuk menghasilkan tayar dan sarung tangan, menggunakan kayu balak untuk menghasilkan perabot seperti kerusi dan meja
  • Pemasangan
  • Aktiviti memasang komponen-komponen untuk menghasilkan barang siap.
  • Cth: Komponen elektronik dipasang untuk menghasilkan televisyen, radio dan perakam video.
PERKHIDMATAN
  1. Perdagangan
  • adalah aktiviti menyediakan barangan supaya mudah didapati oleh pembeli apabila diperlukan
  • mereka terlibat merupakan penghubung antara pengeluar dan pengguna spt peruncitandan pemborongan
  1. Kewangan
  • aktivitinya adalah sperti bank perdagangan, syarikat pelaburan, syarikat insurans dan syarikat kewangan
  • terlibat dalam bidang pengumpulan modal, pelaburan ekuiti,penyediaan kemudahan kredit dan urusniaga pasaran wang.
  1. Perkhidmatan
  • merangkumi perkhidmatan profesional dan perkhidmatan perdagangan

-contoh: syarikat peguan, doktor agen pelancongan dll

SEKTOR
  1. Sektor Swasta
  • Mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat dengan membuka kilang/perniagaan
  • Tingkatkan hasil negara melalui cukai
  • Memberi kemahiran dan pengalaman untuk meningkatkan produktiviti/pembangunan sumber manusia kepada masyarakat.
  • Sumbangan kepada negara seperti derma dll
  • Menyediakan infrastruktur/prasarana spt jalanraya dll
  • Memindah teknologi ke dalam negara
  • Menjalankan r & d
  1. Sektor Awam
  • Menjadi penyokong & pendorong kepada sektor swasra
  • Memberi kemudahan dan panduan ,insentif dll dalam pengeluaran,pertanian dll
  • Membantu mengurangkan lapisan birokrasi
  • Cth: kelulusan lesen/permit dapat diselesaikan bawah satu bumbung
  1. Badan Berkanun
  • Mengawal selia aktiviti perniagaan sektor swasta supaya tidak melanggar peraturan dan
  • Perundangan yg telah ditetapkan.
  • Dapat menjaga kewibawaan sektor swasta & kepentingan pihak pengguna supaya tidak ditindas
  • Pihak tidak bertanggungjawab
  • Menyediakan sumber manusia contoh universiti
  • Melaksanakan dasar berkaitan dengan pihak swasta
TAHAP PERNIAGAAN PENGELUARAN PRIMER
  • Tahap pertama dalam proses pengeluaran
  • Pengeluaran bahan mentah pada peringkat asas
  • Contoh: penoreh pengeluaran susu getah dari pokoknya
SEKUNDER
  • Tahap kedua dalam proses pengeluaran
  • Pemprosesan bahan mentah untuk menghasilkan barang separuh siap

Dan barang siap

  • Contoh : susu getah digunakan untuk menghasilkan keluaran getah lain

Seperti sarung tangan getah

TERTIER
  • Tahap terakhir dalam proses pengeluaran
  • Pemasaran produk kepada pengguna akhir
  • Lebih tertumpu kepada sektor perkhidmatan
  • Contoh : sarung tangan getah akan diedarkan kepada pengguna melalui rangkaian pengedaran yang sesuai.
INDUSTRI HULUAN
  • Peringkat industri yang membekalkan bahan mentah, barang separuh siap atau
  • Barang siap yang akan digunakan dalam aktiviti pengeluaran lain
  • Contoh: Industri yang mengeluarkan susu getah
HILIRAN
  • Tahap perniagaan yang berlaku selepas tahap huluan
  • Contoh: Perniagaan yang menghasilkan tayar getad daripada susu getah
PASARAN DOMESTIK
  • Melibatkan penjualan produk pada peringkat pasaran dalam Negara/tempatan
  • Cth: tayar getah yang dihasilkan pengeluar malaysia dijual kepada
  • Pengguna dalam pasaran malaysia sahaja
ANTARABANGSA
  • Penjualan produk kepada pengguna asing di luar negara
  • Cth: pengeluar tayar getah di malaysia mengeksport tayar getah ke Negara lain.

8 thoughts on “ENTITI PERNIAGAAN

  1. Di dalam silibus, aktiviti perniagaan perkhidmatan ada enam, tapi dalam nota ini tidak berapa lengkap mengenai huraian keenam-enam perniagaan perkhidmatan tersebut. Boleh perincikan?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s