PENGENALAN KPD PERNIAGAAN

1.1       Pengenalan Perniagaan

Perniagaan wujud apabila manusia mengkhususkan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang mereka berkemahiran dan cekap. Perniagaan banyak memberi faedah kepada manusia kerana aktiviti-aktiviti perniagaan dapat memenuhi kehendak dan keperluan manusia dengan menyediakan berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan sama ada di dalam negara ataupun diimport dari luar negara.

Selain itu, perniagaan juga menjanakan keuntungan yang menggalakkan manusia berkecimpung dan mengembangkan perniagaan pulangan kepada pemilik-pemilik yang sanggup menghadapi risiko daripada pelaburan wang dan masa mereka.

1.1.1   Definisi Perniagaan

“Business is the distribution and exchange of all the surplus goods produced in the fields, seas, forests and factories of the earth so that they reach the final consumer in the right place and at the right price”

Perniagaan merupakan pengagihan dan pertukaran semua barangan berlebihan yang dihasilkan daripada ladang-ladang, lautan, hutan-hutan dan kilang-kilang supaya mereka dapat diperoleh oleh pengguna terakhhir pada tempat dan harga yang berpatutan.

Vincent A. Gabriel (1995) m.s 5

Perniagaan merupakan semua kegiatan membeli dan menjual barangan dan perkhidmatan dengan tujuan mendapat keuntungan.

Teng Yoon Soon, Lok Chung Hwa dan

Abdullah Munsi b. Abdul Rahim (1999) m.s 1

Perniagaan adalah pertukaran barang atau perkhidmatan dengan wang untuk tujuan mendapatkan keuntungan atau sebarang bentuk faedah.

Zumilah Zainalaludin (1999) m.s 3

Perniagaan boleh didefinisikan sebagai pertukaran barang atau perkhidmatan dengan wang atau alat pertukaran lain, bertujuan untuk mendapat keuntungan atau sebarang bentuk faedah.

Norhayah Zulkifli et. al (1999) m.s 2

“Business is an organization that provides goods or services in order to earn profits”

Perniagaan merupakan suatu organisasi yang membekalkan barangan atau perkhidmatan untuk mendapat keuntungan.

Ronald J. Ebert dan Ricky W. Griffin (1998) m.s 2

Rumusan

Berdasarkan definisi-definisi yang dikemukakan di atas, maka perniagaan dapat ditakrifkan sebagai:-

Suatu usaha untuk mengagih dan menukarkan barangan yang berbentuk barang fizikal atau perkhidmatan atau kedua-duanya daripada pengeluar asal kepada pengguna terakhir pada tempat dan harga yang berpatutan. Usaha pemindahan dan pertukaran barangan ini dijalankan berasaskan alat pertukaran yang telah dipersetujui oleh pengeluar asal dan pengguna terakhir. Pertukaran sedemikian akan membawa faedah dan keuntungan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini.

1.1.2   Barangniaga

Ia juga dikenali sebagai produk atau keluaran. Barangniaga terdiri daripada unit-unit yang dapat dilihat, dihidu, dirasa dan disentuh secara fizikal seperti baju, keropok, anak patung mainan dan sebagainya.

1.1.3   Perkhidmatan

Ia merupakan sesuatu keluaran yang tidak dapat dilihat, dihidu, dirasa dan disentuh secara fizikal. Namun demikian, kehadirannya akan memenuhi keperluan dan kehendak pembeli atau penggunanya. Contoh-contoh perkhidmatan adalah perkhidmatan pakar perubatan, bank, insuran, pendidikan Kolej Matrikulasi dan sebagainya.

1.1.4   Keuntungan

Keuntungan merupakan perbezaan di antara pendapatan dan perbelanjaan perniagaan. Keuntungan perniagaan yang menggalakkan peniaga-peniaga untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka. Ia juga merupakan pulangan atau ganjaran kepada peniaga-peniaga yang sanggup menghadapi risiko daripada pelaburan wang dan masa mereka.

Keuntungan (perniagaan) = Pendapatan  –  Perbelanjaan

Keuntungan (ekonomi) = Pendapatan – (Perbelanjaan + Kos Melepas*)

* Kos melepas merupakan kos yang terpaksa dilepaskan kerana membuat sesuatu pilihan.

1.1.5   Faedah

Faedah juga dikenali sebagai kebaikan atau kelebihan. Semua pihak yang terlibat dalam perniagaan akan memperolehi faedah. Misalnya, seorang peniaga yang menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan akan memberi faedah kepada pelanggannya. Pelanggan itu akan menggunakan barangan atau perkhidmatan yang disediakan untuk kepentingan diri iaitu mencapai matlamat individu atau organisasi. Pada masa yang sama, peniaga yang memberi perkhidmatan atau menjual barang akan dibayar oleh pelanggannya.

1.1.6   Kepuasan

Apabila kehendak dan keperluan seseorang itu dipenuhi, maka dia akan berasa puas hati. Jika tidak, kepuasannya tidak akan tercapai. Misalnya, barang atau perkhidmatan yang dibeli oleh seseorang itu dapat memenuhi keperluan dan kehendak pihak pembeli, maka pembeli akan berasa puashati. Begitu juga dengan penjual barang atau perkhidmatan. Bayaran yang diperoleh daripada jualan barang atau perkhidmatan dan ia digunakan untuk memenuhi keperluan dan kehendak penjual, maka penjual akan mencapai kepuasan.

1.1.7   Objektif Perniagaan

Keuntungan iaitu perbezaan diantara kos pengeluaran (perbelanjaan) dan apa yang pelanggan-pelanggan mahu bayar untuk sesuatu produk (pendapatan) merupakan salah satu asas dalam sistem  ekonomi kapitalis.

Keuntungan

Pada jangka masa panjang, keuntungan ialah objektif utama untuk kebanyakan organisasi perniagaan sama ada bersaiz besar atau kecil. Keuntungan merupakan faktor atau daya tarikan kepada seseorang individu untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan dan peniaga untuk mengembangkan perniagaan yang sedia ada. Selain itu, keuntungan boleh menjadi pengukur prestasi sesebuah organisasi perniagaan, sama ada disifatkan berjaya atau gagal.

Namun, persepsi atau tanggapan masyarakat terhadap keuntungan sebagai objektif utama dalam bidang perniagaan mula berubah. Banyak organisasi perniagaan sanggup berkorban keuntungan pada jangka masa pendek untuk objektif perniagaan pada jangka masa panjang. Contohnya, banyak organisasi perniagaan Jepun berjaya bersaing dan memasuki pasaran Amerika Syarikat kerana mereka sanggup untuk menangguhkan keuntungan pada peringkat permulaan dengan menawarkan produk yang bermutu dan berharga rendah.

Pada zaman ekonomi berpengetahuan (k-economy), organisasi perniagaan yang mengutamakan keuntungan semata-mata sebagai objektif utama sering dikritik malah disangsikan oleh masyarakat umum. Oleh sebab itu, sebahagian besar organisasi perniagaan hari ini mengubah pendirian mereka daripada terlalu mengutamakan keuntungan kepada pertimbangan-pertimbangan yang dapat diterima oleh masyarakat umum seperti tanggungjawab sosial, kerja-kerja amal dan sebagainya.

Kemandirian (Survival)

Kewujudan sesebuah organisasi perniagaan baru atau semasa keadaan ekonomi yang tidak stabil, objektif kemandirian (survival) adalah lebih penting daripada keuntungan. Kemandirian bertujuan untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kewujudan organisasi perniagaan itu. Organisasi perniagaan harus cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian masyarakat umum tentang kewujudannya. Lazimnya, organisasi perniagaan mengalami kerugian di peringkat kemandirian tetapi fenomena ini tidak berkekalan. Pihak peniaga juga harus memastikan bahawa jangka masa kerugian yang dialami di peringkat kemandirian adalah singkat dan tidak berlarutan. Jika tidak, kerugian yang dialami itu bertambah dan sukar untuk ditanggung oleh organisasi perniagaan yang terbabit. Ini akan menggagalkan organisasi perniagaan pada akhirnya.

Pertumbuhan

Apabila organisasi perniagaan berjaya memperkenalkan diri dan menyedarkan masyarakat umum tentang kewujudannya, maka ia harus berusaha untuk mengurangkan kerugian yang dialami di peringkat kemandirian. Pada masa yang sama, usaha peningkatan keuntungan patut ditekankan supaya organisasi perniagaan itu bertumbuh dan terus membesar dan berdaya saing dengan organisasi perniagaan lain sama ada organisasi perniagaan tempatan ataupun antarabangsa.

Tanggungjawab Sosial

Pada hakikatnya, kemandirian dan pertumbuhan sesebuag organisasi perniagaan dipengaruhi oleh tahap penerimaan serta sambutan masyarakat umum terhadap organisasi perniagaan yang berkenaan dan aktiviti-aktiviti perniagaannya. Oleh itu, organisasi perniagaan itu harus memenuhi tanggungjawab sosialnya dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan, menjual barangan yang baik dan bermutu tinggi, menawarkan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat dengan cekap dan pada kadar atau harga yang berpatutan, membantu negara untuk mempertingkatkan kedudukan ekonominya.

1.2       Kepentingan Perniagaan

Perniagaan merupakan suatu bidang yang berpengaruh kepada kehidupan seluruh manusia dan seluruh dunia. Kefahaman terhadap konsep perniagaan amat penting untuk kehidupan harianseluruh manusia kerana ia dapat memberi kesan atau impak kepada manusia dalam aspek-aspek seperti:-

1.2.1   Memenuhi Keperluan Masyarakat

Perniagaan dapat memenuhi keperluan masyarakat. Hasil daripada aktiviti-aktiviti perniagaan, iaitu urusan pembelian dan penjualan barangan dan perkhidmatan, para peniaga akan memperolehi keuntungan manakala pihak pembeli dan pengguna pula memiliki barangan dan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Contohnya, penjual air kacang soya di tepi jalan raya akan mendapat keuntungan apabila air kacang soyanya dibeli oleh pembeli. Pada masa yang sama, pembeli yang membeli dan meminum air kacang soya itu dapat memenuhi keperluan dan kehendaknya iaitu menghilangkan dahaga.

1.2.2   Menyediakan Pekerjaan Kepada Masyarakat

Sebahagian besar masyarakat menyara kehidupan mereka melalui pekerjaan yang diperolehi daripada sektor perniagaan. Masyarakat boleh bekerja sebagai peniaga atau sebagai pekerja dalam organisasi perniagaan. Pendapatan yang diterima melalui pekerjaan yang diperolehi daripada sektor perniagaan dapat menyara malah meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Selain itu, pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan dan terdesak semasa berlakunya kemelesetan ekonomi boleh beralih kepada perniagaan terutamanya perniagaan secara kecil-kecilan sebagai sumber rezeki yang baru.

1.2.3   Tidak Ditipu

Dalam kehidupan sehari-hari, kefahaman terhadap konsep perniagaan dapat membantu malah mencegah pengguna terakhir daripada ditipu oleh para peniaga yang menggunakan teknik-teknik perniagaan yang berniat serong seperti perniagaan seperti perniagaan jualan murah di pasaran. Pembeli-pembeli harus bijak dan berhati-hati semasa membeli-belah barangniaga jualan murah. Bukan semua barangniaga yang ditawarkan jual murah itu sebenarnya murah. Setengah-setengahnya memang berharga murah dan setengah-setengah lagi mungkin lebih mahal daripada harga biasa.

1.2.4   Memahami Pergolakan Perniagaan

Kefahaman terhadap konsep perniagaan akan dapat membantu dan memudahkan lagi individu ataupun organisasi untuk memahami dan mengenal pasti sebarang pergolakan perniagaan semasa. Misalnya, Syarikat A sedang menghadapi masalah kewangan, maka kita boleh mengambil kesempatan ini untuk memiliki syarikat yang berkenaan dengan membeli saham-sahamnya atau tidak.

1.2.5   Kehidupan Yang Lebih Mewah

Masyarakat yang giat berkecimpung dalam bidang perniagaan akan meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka terutamanya dalam sistem ekonomi kapitalis atau sistem ekonomi campuran. Pada umumnya, individu yang berilmu perniagaan dan terlibat dalam bidang perniagaan menikmati taraf hidup atau kehidupan yang lebih mewah berbanding dengan individu yang kurang ilmu perniagaan dan kurang terlibat dalam bidang perniagaan.

1.2.6   Meningkatkan Pembangunan

Dalam usaha untuk menyakin dan menarik pelaburan daripada pelabur-pelabur sama ada pelabur-pelabur asing ataupun pelabur-pelabur tempatan, pihak berkuasa akan cuba memperbaiki kemudahan asas atau infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik di sesebuah tempat. Peningkatan prasarana asas ini secara tidak langsung membawa kesan kepada pembangunan kawasan dan masyarakat tempatan yang terlibat dalam perniagaan.

1.2.7   Peluang Global

Masyarakat yang berilmu perniagaan akan memudahkan negara untuk menceburi dalam perniagaan di peringkat antarabangsa atau global. Penguasaan ilmu perniagaan membolehkan peniaga-peniaga negara kita bersaing terutamanya dengan peniaga-peniaga dari negara-negara maju. Kita memerlukan kemahiran, kepakaran dan lebihan persaingan (competitive edge) yang tinggi dan berkualiti untuk maju dan menjayakan perniagaan di peringkat antarabangsa atau global.

Contoh soalan Pendek STPM

1.1 Pengenalan Kepada Perniagaan

Q1: Jelaskan maksud perniagaan.
【2M】

Perniagaan boleh dimaksudkan sebagai aktiviti membeli dan menjual barangan atau perkhidmatan dengan bermotifkan keuntungan.

Q2: Secara ringkas, bezakan antara perniagaan dan bukan perniagaan. 【3M】

Perniagaan merupakan sebuah organisasi yang menggemblengkan semua sumber untuk menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan bagi tujuan memaksimumkan keuntungan.
Bukan perniagaan merujuk kepada organisasi yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak bermotifkan keuntungan.

Q3: Nyatakan empat unsur penting dalam perniagaan. 【2M】

(a) Memuaskan keperluan dan kehendak pengguna
(b) Barangan atau perkhidmatan
(c) Pertukaran nilai
(d) Keuntungan perniagaan

Q4: Berikan definisi keuntungan. 【2M】

Keuntungan ialah baki pendapatan setelah semua perbelanjaan pengeluaran dan pemasaran barangan atau perkhidmatan ditolak daripada jumlah pendapatan atau jumlah penerimaan.

Q5: Nyatakan lima komponen yang terdapat dalam setiap organisasi merujuk pandangan Mintzberg. 【2½M】

(a) Manusia
(b) Matlamat atau objektif
(c) Struktur organisasi
(d) Aktiviti
(e) Kawalan

Q6: Nyatakan dua jenis keuntungan perniagaan. 【1M】

(a) Untung kasar
(b) Untung bersih

Q7: Senaraikan empat sebab sesebuah perniagaan berusaha untuk mencapai keuntungan. 【2M】

(a) Mengekalkan kedudukan perniagaan
(b) Membentuk strategi perniagaan yang berkesan
(c) Mengembangkan perniagaan
(d) Memenuhi kehendak pemilik perniagaan

Q8: Berikan empat peranan penting perniagaan dalam sesebuah negara. 【2M】

(a) Meningkatkan kegiatan pelaburan dalam negara
(b) Mewujudkan peluang pekerjaan
(c) Meningkatkan aktiviti pengeluaran dan eksport
(d) Menyumbang kepada pendapatan negara

Q9: Nyatakan empat keadaan ekonomi yang dapat merangsang perkembangan sesebuah perniagaan. 【2M】

(a) Ekonomi yang stabil
(b) Sistem kewangan yang liberal
(c) Kuasa beli pengguna yang tinggi
(d) Nilai mata wang yang stabil

Q10: Senaraikan empat tahap penting dalam kitaran perniagaan. 【2M】

(a) Pertumbuhan
(b) Kemerosotan
(c) Kemelesetan
(d) Kemewahan

Q11: Bincangkan secara terperinci tahap kemerosotan dan tahap kemelesetan dalam kitaran perniagaan. 【3M】

Tahap kemerosotan berlaku apabila kadar pertumbuhan perniagaan menurun selepas mencapai tahap pertumbuhan yang paling tinggi. Namun, kadar pertumbuhan perniagaan masih bernilai positif.
Kemerosotan yang berterusan dalam ekonomi akan menyebabkan kadar pertumbuhan perniagaan terus menurun sehingga perniagaan mengalami tahap kemelesetan. Tahap kemelesetan berlaku apabila kadar pertumbuhan perniagaan bernilai negatif.

Q12: Nyatakan empat jenis sistem ekonomi utama. 【2M】

(a) Pasaran bebas
(b) Komunis
(c) Sosialis
(d) Campuran

Q13: Terangkan empat faktor penting pengeluaran. 【4M】

Faktor pengeluaran merupakan sumber-sumber yang digunakan untuk mengeluarkan barangan atau perkhidmatan. Faktor-faktor pengeluaran terdiri daripada empat elemen utama iaitu tanah, buruh, modal dan usahawan.
(a) Tanah merupakan sumber alam yang berharga atau produktif yang boleh digunakan untuk pengeluaran barangan atau perkhidmatan.
(b) Buruh merupakan semua sumber manusia yang diperlukan untuk menukarkan bahan-bahan mentah kepada barangan atau perkhidmatan.
(c) Modal merujuk kepada bentuk kewangan, bahan mentah, peralatan, kelengkapan, jentera, atau bangunan yang digunakan untuk pengeluaran barangan atau perkhidmatan.
(d) Usahawan merupakan orang yang merancang aktiviti perniagaan dengan menggabungkan dan menggunakan kombinasi faktor-faktor pengeluaran yang sedia ada.

Q14: Nyatakan lima tahap penting dalam proses perniagaan bagi semua jenis perniagaan. 【2½M】

(a) Input
(b) Transformasi
(c) Output
(d) Proses pemasaran
(e) Penjanaan untung atau rugi

28 thoughts on “PENGENALAN KPD PERNIAGAAN

  1. cikgu,saya hanya dapat lihat separuh dari nota ini sahaja. .terutama di perbezaan perniagaan dan bukan perniagaan. =.=

  2. You are really a excellent webmaster. The web site loading pace is incredible. It sort of feels that you’re doing any unique trick. Also, The contents are masterwork. you have done a great job on this topic!

  3. sangat berguna .mohon bantuan cikgu untuk menambahkan lagi info tambahan bagi setiap topik pp 1 dan 2-lebih berformatkan stpm-yogesh dari pfs,penang

  4. thk cikgu,nota ni sangat berguna utk saya.kerana saya x berapa pandai utk buat nota sendiri.saya mohom utk copy ye.

  5. cikgu sy minta kebenaran untuk sy copy nota ni ye,nota ni dpt memudahkan sy untuk mengulangkaji….terima kasih cikgu

  6. As’salam Cikgu…saya adalah pelajar persendirian..sy mohon atas budi bicara Cikgu utk sy mgunakan laman Ckigu..saya juga berharap agar cikgu sudi membantu saya.. saya sudahi dengan ucapan Terima Kasih yg tak terhingga buat Cikgu.

  7. Terima kasih cikgu dengan baca nota ni saya dah terjatuh suka dengan subjek ini..doakan sya ye..aamiin

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s